Berita

               KUMPULAN PERTAMA PELAJAR (356 ORANG) SELAMAT TIBA DI JEDDAH


Kumpulan pertama pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir berjaya dibawa keluar dari Kaherah pada pukul 3 petang semalam waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) dan selamat tiba di Jeddah.

Kumpulan itu yang terdiri daripada 356 orang pelajar termasuk seorang bayi, berjaya dibawa keluar menerusi pesawat Boeing 747 milik Malaysia Airlines (MAS).

Naib Pengerusi Eksekutif Hubungan Luar MAS Kapten Datuk Mohd Nawawi Awang berkata MAS menggunakan pesawat itu bagi memaksimumkan jumlah pelajar dan rakyat Malaysia untuk dibawa keluar dari Kaherah ke Jeddah.

"Pesawat ini mampu ulang alik sebanyak tiga kali dalam sehari. Pun begitu, hari pertama kita tidaklah terlalu sukar (untuk mendarat di Kaherah) dan semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang," katanya kepada pemberita di Jeddah hari ini.

Sementara itu, suasana ceria jelas terpancar di wajah pelajar-pelajar yang berjaya dibawa keluar dari Kaherah.

Ada antara mereka yang menangis, tertawa dan ada juga yang sibuk dengan telefon bimbit masing-masing menghubungi ibu bapa untuk memaklumkan keadaan terkini mereka.

Haslisah Khalil, 19, pelajar ijazah jurusan perubatan di Universiti Ainshams berkata, beliau bersyukur di atas keprihatinan kerajaan Malaysia yang mengambil inisiatif membawa mereka pulang.

"Gembiralah...sebab keadaan amat menakutkan saya walaupun telah diberikan perintah berkurung oleh pengurusan Rumah Negeri Selangor. Kami hanya boleh keluar selepas pukul 1 tengah hari. Itu pun dengan secepat mungkin.

NONE"Perintah berkurung yang dikenakan ke atas kami bermula pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari. Waktu itu kami manfaatkan membeli barangan asas seperti roti dan gula. Waktu itu juga, kami terpaksa berebut-rebut dengan wanita Arab," katanya
yang kini berada di tahun satu jurusan tersebut.

Mohd Shauqi Ismail, 26, yang berasal dari Melaka berkata tindakan kerajaan membantu warganya dalam kesusahan termasuk di luar negara membuktikan bahawa kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak prihatin dan bertanggungjawab.

"Saya rasa bersyukur dan gembira hari ini. Sama ada bantuan tiba menerusi kapal terbang ke, kapal ke, apa yang penting ialah keselamatan kita. Jadi kita tak kira apa pun yang datang selamatkan kita," katanya.

Pelajar tahun satu jurusan Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar itu turut ditemani isteri yang juga menuntut di univerisiti itu dan anaknya berusia
dua tahun.

Kesemua pelajar tersebut kini ditempatkan sementara di asrama Tabung Haji di Jeddah.

Pemindahan pelajar selain mengunakan pesawat milik MAS, ia juga turut mendapat kerjasama AirAsia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Pada masa ini dianggarkan terdapat 14,000 pelajar Malaysia di Mesir yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sana.

Sejak 28 Jan lepas, beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan.

- Bernama


AMARAN HUJAN LEBAT PERINGKAT JINGGA DI SABAH


KUALA LUMPUR 4 Feb. - Hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat di beberapa kawasan di Sabah dijangka berterusan sehingga esok.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 12 tengah hari ini menyebut bahawa kawasan yang terlibat ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Sandakan, Beluran dan Kinabatangan.

"Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berdekatan tebing sungai,” menurut kenyataan itu.

Jabatan itu juga meramalkan hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana yang berlaku di Kuching, Lundu, Bau, Samarahan, Asa Jaya, Simunjan, Betong, Saratok, Sarikei, Mukah, Dalat, Matu dan Daro di Sarawak dijangka berterusan sehingga esok.

Sementara itu, amaran angin kencang dan laut bergelora pula dituruntarafkan kepada kategori kedua untuk angin kencang Timur Laut di perairan Condore, Reef North, Layang-layang dan Laut Sulu dengan kelajuan 50-60km sejam dan ombak setinggi 4.5 meter yang dijangka berterusan sehingga Ahad ini.

Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri, kata kenyataan itu.

Angin kencang sehingga mencapai kelajuan 40-50km sejam dengan keadaan ombak setinggi 3.5 meter pula berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor timur, Samui, Tioman, Bunguran, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat, Sandakan, Lahad Datu, dan Tawau), Reef South, Palawan, dan Sulawesi dijangka berterusan sehingga Ahad ini.

- Bernama
  
BAHAYA HISAP SHISHA.....

SHISHA, antara sedar atau tidak, dianggap trend atau kecenderungan yang semakin menular sekarang. Di Malaysia, penggunaan shisha semakin popular di kota metropolitan yang sentiasa menyaksikan drama kehidupan muda-mudi dengan gaya hidup bebas baik lelaki mahupun wanita.

Secara am, shisha menjadi antara pilihan masyarakat bandar untuk melepaskan tekanan sambil santai. Sedangkan ia bukan gaya yang positif, tambahan pula apabila golongan remaja termasuk wanita turut terbabit. Shisha lebih bahaya berbanding rokok dari pelbagai segi.
Walaupun wujud persepsi buruk terhadap penggunaan shisha dalam kalangan masyarakat umum, segelintir orang masih ketagih dengan amalan popular dari Asia Barat ini. Kemunculan shisha masih baru di negara ini, namun pengaruhnya cukup menakjubkan.
Ramai menyatakan ia lebih selamat daripada merokok, tetapi ia tidak wajar sama sekali kerana kandungan asas bagi rokok dan shisha adalah sama, iaitu tembakau. Tembakau yang digunakan untuk rokok diasapkan terlebih dulu sementara tembakau yang digunakan untuk shisha diperam.

Air dalam shisha tidak dapat menapis banyak jenis toksin dalam asap shisha. Shisha juga mengandungi nikotin, karbon monoksida dan lain-lain bahan seperti rokok biasa. Bahkan arang yang digunakan mendap dalam salur pernafasan dan meningkatkan masalah paru-paru kepada lebih teruk berbanding rokok biasa yang juga berbahaya dari segi bahan pengawet digunakan untuk mengawet dan merawat tembakau dalam rokok.

Bagi mereka yang menghisap shisha di kedai kopi, perkongsian paip shisha mendedahkan mereka kepada bahaya lain seperti penyakit yang merebak melalui air liur. Penyakit yang biasa kita dengar, berjangkit akibat berkongsi shisha adalah TB. Tidak hairanlah jika kes TB di Mesir menjadi satu kebiasaan di semua hospital.

Kerajaan tidak putus asa berkempen mengurangkan jumlah perokok. Belum sembuh mengenai rokok wujud pula shisha yang lebih berat padahnya. Gejala ini terpulang kepada masyarakat untuk menilainya. Kita perlulah membuat pilihan bijak bagi menjamin tahap kesihatan diri sendiri.
Malaysia menantikan generasi masa hadapan yang lebih berpandangan jauh dan seiring dengan peredaran zaman, tetapi bukan bermaksud ke arah yang negatif. Tiada siapa dapat mengubah tingkah laku ini, melainkan diri sendiri. Janganlah biarkan negara kita mundur dek gejala ini.